Ijtihad dan Ittiba’ dan Taqlid dan Talfiq


Bab Pada Menyatakan Ijtihad dan Ittiba’ dan Taqlid dan Talfiq

Bermula ijtihad itu mengeluarkan segala kekuasaan pada menilaikan kepada segala dalil supaya mendapat akan zhon dengan hukum, dan orang yang mengeluarkan itu dinamakan akan dia dengan mujtahid dan dengan faqih. Disyaratkan pada ijtihad itu beberapa syarat ; 
  1. mengetahui ia akan segala nas Quran dan Hadith dan kelakuan sekalian yang menceritakannya, dan 
  2. mengetahui ia akan segala masalah yang ijma’ ulama padanya, supaya tiada menyalahi ia akan dia, dan 
  3. mengetahui ia akan bahasa arab, dengan sekira-kira kuasa ia mentafsirkan barang yang datang didalam Quran dan Hadith daripada lafaz yang gharib (yang payah maknanya) dan yang seumpamanya, dan 
  4. mengetahui ia akan ‘ilmu usul feqah  masuk didalamnya oleh qias, 
  5. mengetahui ia akan nasakh dan mansukh, supaya tiada menghukumkan ia dengan ayat yang mansukh atau hadith yang mansukh.
Bersalah-salahan ulama pada mensyaratkan akan mengetahui dalil ‘aqal dan ‘ilmu usuluddin dan ‘ilmu furu’ (‘ilmu feqah) WaAllahu a’lam,

(Fasal Yang Pertama Segala Bahagian Mujtahid)

Terbahagi mujtahid itu kepada tiga bahagi,
  1. mujtahid mutlak, iaitu mereka yang kuasa ia atas mengeluarkan hukum daripada Quran dan Hadith dengan kaedahnya tersendiri, seperti sekalian imam yang empat, 
  2. mujtahid mazhab, dan iaitu mereka yang mengeluarkan ia akan hukum dengan segala kaedah imamnya, seperti المزنى, 
  3. mujtahid fatwa, dan iaitu mereka yang kuasa ia atas tarjih pada segala qaul yang bersalah-salahan, seperti Ar-Rifai’ dan An-Nawawi, tidak seperti Ibnu Hajar dan Ar-Romli, maka bahawasanya tiada sampai keduanya akan pangkat tarjih, bahkan keduanya orang yang taqlid maka hanyalah, dan berkata setengah ulama’ : bahawasanya bagi keduannya tarjih pada setengah-setengah masalah, bahkan الشيخ على الشبراملسى pun ada juga baginya tarjih. WaAllahu A’lam.
(Fasal Yang Kedua Ittiba’ dan Taqlid)

Bermula taqlid itu mengambil perkataan orang yang lain dengan ketiadaan mengetahui dalilnya, dan orang yang bertaqlid itu mereka yang tiada sampai kepada pangkat ijtihad. Adapun mengambil perkataan orang serta mengetahui dalilnya maka iaitu ijtihad setuju dengan ijtihad orang yang berkata itu, kerana mengetahui dalil itu hanya saya ada ia bagi mujtahid, kerana terhentinya atas mengetahui selamat dalil itu daripada yang berlawanan dengan dia, dan yang demekian itu terhenti atas memeriksa segala dalil semuanya, dan tiada kuasa atas yang demikian itu melainkan mujtahid.

Dan adapun ittiba’ maka adalah ia masuk didalam taqlid pada istilah mutaakhirin, kerana pada sisi mereka itu hanya sanya terbahagi manusia itu kepada dua bahagi, (pertama) mujtahid dan (kedua) muqallid, hingga berkata mereka itu : bahasawanya Ibnu hajar dan Ar-Romli Rahimahumullahu Ta’ala setengah daripada mereka yang taqlid semata-mata, dan tiap-tiap seseorang merdeka ia pada membuat istilah baginya, لَامُشَا حَّةَ فِى ٱلِٱصْطِلَاحِ)) ertinya tiada kikir setengah akan yang lain pada istilah ketahui olehmu bahawasanya taqlid pada masalah furu’ itu haram atas ulama’ yang mujtahidin, bahkan kewajipan mereka itu ijtihad, dan wajib taqlid atas sekalian orang awam, (yang tiada sampai kepada pangkat ijtihad), kerana firman Allah Ta’ala :

فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya : maka bertanya oleh kamu akan (ahli zikir) jika ada kamu tiada mengetahui

Dikehendaki dengan (ahli zikir) itu melengkapi akan ulama’ yahudi dan nasrani, dan melengkapi ia akan ulama مسلمين من باب اولى, kerana yang kebilangan itu dengan umum lafaz tiada dengan ketentuan sebab turun ayat. Mewajibkan Allah Ta’ala akan bertanya atas mereka yang tiada mengetahui dan yang demekian itu taqlid akan mereka itu, dan kerana ijma’ sahaba, maka bahawasanya mereka itu adalah mereka itu memberi fatwa akan orang awam, dan tiada menyuruh mereka itu akan orang-orang awam itu dengan mencapai akan pangkat ijtihad. Dan yang demikian itu diketahui akan dia atas darurat atau tawatir daripada ulama mereka itu dan orang awam mereka itu. Berkata akan dia oleh Al-Imam Al-Ghazali didalam kitab Al-Mustashfa dan lagi ada pada mewajibkan ijtihad atas orang awam itu kesukaran. Telah berfirman Allah Ta’ala ;

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Ertinya : dan tiada menjadikan Allah Ta’ala atas kamu hai sekelian yang beriman akan kepicikan didalam agama Islam.

Tambahan lagi ada pada mengharamkan taqlid atas orang awam itu dan mewajibkan ijtihad atas mereka itu memberati mereka itu akan barang yang tiada kuasa mereka itu atasnya. Telah berfirman Allah Ta’ala  :

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا
Ertinya tiada memberati Allah Ta’ala akan seseorang melainkan sekuasanya

Adapun taqlid pada simpulan iman maka tiada harus, inilah mazhab jumhur. Berkata Imam Al-Haramain didalam kitab الشامل : tiada berkata dengan taqlid pada usuluddin melainkan jemaah yang mengikut Imam Ahmad bin Hanbali. Berkata الاسفرابنى : tiada menyalahi padanya melainkan اهل الظاهر. Berdalil oleh al-jumhur dengan bahawasanya segala umat telah ijma’ atas wajib mengenal Allah Ta’ala, dan bahawasanya mengenal itu tiada hasil ia dengan taqlid. Bahkan berkata setengah ulama bahawasanya yang taqlid pada simpulan iman itu kafir. Dengan yang tersebut diketahui akan bahawasanya perkataan Hasan Bandung (bermazhab sama maknanya dan maksudnya dengan bertaqlid, dua-duanya itu dilarang oleh Allah, oleh Rasul, oleh sahabat, bahkan oleh imam-imam yang ditaqlid dia) tiada betul, melainkan jika kehendaknya yang dilarang itu taqlid pada usuluddin, atau yang dilarang itu orang yang mujtahid, bukan orang awam. Barangsiapa berkata dengan haram taqlid dan bermazhab atas orang awam (yang tiada kuasa berijtihad) maka dituntut daripadanya dalil dan tiada kuasa ia atas mendatangkan dalil itu dan jika tiada kuasa ia mendatangkan dalilnya maka perkataannya itu tiada diterima. WaAllahualam.

(Fasal Yang Ketiga Talfiq)

Bermula talfiq itu menghimpunkan antara dua mazhab atau lebih atas kelakuan yang menyalahi ia akan ijma’ ulama. Bermula talfiq itu haram. Maka dalil atas haramnya iaitu segala dalil yang mewajibkan mengikut ijma’,

Misal bagi talfiq itu berkahwin seorang dengan ketiadaan mahar dan ketiadaan wali dan ketiadaan saksi. Maka ketiadaan mahar itu daripada mazhab Imam kita As-Syafi’e, dan ketiadaan wali itu daripada mazhab Abu Hanifah, dan ketiadaan saksi itu daripada mazhab Daud Az-Zohiri.

Dan adalah talfiq ini tiada harus dan ijma’ ulama atas bathilnya, kerana menyalahi akan ijma’, kerana tiada ada seorang daripada imam-imam yang mujtahid yang berkata dengan sah nikah yang tersebut itu, ini jika ada talfiq itu bersusun satu pada satu perkara (urusan). Adapun talfiq yang bersusun daripada dua perkara, seperti suci daripada najis dan suci daripada hadas, maka adalah ia harus disisi setengah ulama, seperti Ibnu Ziyad.

Misalnya mengikut ia akan Imam Malik pada suci anjing. Dan mengikut Imam Syafi’e pada menyapu setengah kepala, dan sembahyang ia dengan dua suci itu maka sah sembahyangnya.

Rujukan ; Kitab Al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab, karangan Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Mutthalib Al-Indonesi Al-Mandili

والله أعلم